Engkau damaikanlah jiwa-jiwa yang gelisah,
Engkau tenangkanlah hati-hati yang terusik,
Engkau kuatkanlah semangat mereka yang memerlukan,
Engkau hilangkanlah resah yang berbuku di sudut hati,
Engkau buangkanlah rasa sedih yang bermukim
dan Engkau gantikanlah dengan kegembiraan...
sesungguhnya hanya Engkau-lah sebaik-baik tempat bergantung...
Teman2... Mari sama2 kita muhasabah diri..moga2 kita antara orang yg tidak mendapat saham dosa dengan kealpaan kita...mari kita nilaikan petikan dari UZAR ada atau tidak kita lakukan senarai dosa2 yg UZAR sampaikan..belum terlambat untuk kita bertaubat..Allah maha pengampun
Semenjak
empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran
melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut
ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda
haramnya.
Perlakuan
dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun
di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-
1) Mendedah
keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes
yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan
perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak
suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat
komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada
yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan
mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.
Sebagaimana yang
disebut oleh ramai specialist di dalam
bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan
mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung.
Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula
untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu
hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun, tanpa disedari
perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua
perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga
atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan
di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan
olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai
autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh
berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga
dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan
sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan masalah
dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan
melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang
dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak
secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca'
dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan
pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya,
bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga
adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah,
berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar
kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa
pertimbangan aqal yang wajar.
2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan
wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita
yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin
ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan
fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga
kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan
sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa
sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang
menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian,
malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.
Lebih pelik, tuan
punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang
etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami)
tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan bercanda mereka
melalui ruang komentar, si lelaki dan
wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama,
sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih
bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk
dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.
Saya bimbang, ramai
pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau
menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .
3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada
dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend'
seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses
kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses,
terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana
wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai
dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa
yang disukainya dengan gambar itu.
Si wanita yang pada
asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya
masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu,
walau anda hanya membenarkan friend untuk
menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.
4) Download
gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga,
akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat
lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai
koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah
punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan
sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja
gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut'
(cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling
yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga
nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin
menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh
wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan
isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.
5) Tagging gambar
tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging
atau
menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk
menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan
dan
rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa
ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust
Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.
Ini adalah kerana,
terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar.
Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh
semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.
Ini boleh menjadi
dosa, kerana :-
a- Sebahagian
individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi
kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya
yang tidak menutup aurat adalah haram.
b- Individu
terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna
kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat
ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang
sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih
tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh
dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya,
sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka.
Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c- Gambar
mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat,
tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang
menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia
kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata
masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya
secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu
sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan
perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya
terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra
caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah
masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah,
baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak
sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin
bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
Yang menyedihkan,
apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana
lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri
sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan
lain-lain frasa yang sepertinya.
Tanpa
disedarinya, ia
mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah,
bermakna
kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan
lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya
dahulu. Ingatlah
wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan
dahulu,
janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian
yang
sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.
KESIMPULAN
Itulah
facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh
menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah
dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat
untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama
sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan
isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa
kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan
nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu
hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan
dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah
sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
Sekian
Zaharuddin
Abd Rahman
No comments:
Post a Comment